Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Selasa, 15 November 2011

NYAWA SI KECIL DIRAGUT SETIAP 20 SAAT!!!



PNEUMONIA PEMBUNUH TIDAK DIJANGKA

SATU angka yang besar dan memang menakutkan, menjadikannya sebagai pembunuh nombor satu di dunia, bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun, sekali gus melebihi kematian disebabkan AIDS, malaria dan batuk kering (TB).

Bermula dengan demam biasa atau batuk serta bersin ringan, pembunuh yang bebas berkeliaran itu pantas membunuh mangsa kerana ia ia bertindak secara perlahan, malah tidak dijangka.
Ahli Pengasas Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP) yang juga Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata secara umumnya empat daripada lima ibu bapa atau penjaga tidak mengetahui tanda bahaya penyakit pneumonia atau juga dikenali sebagai radang paru-paru.

Ramai menyangka ia adalah penyakit biasa seperti selsema dan boleh dirawat dengan ubat batuk serta demam yang dibeli di farmasi. Apabila keadaan tidak bertambah baik, baru mereka mendapatkan rawatan daripada doktor.

Kanak-kanak menghidap pneumonia selalunya dikesan pada peringkat yang sudah parah. Gejala dan tanda pneumonia boleh berbeza dan ini banyak dipengaruhi oleh kuman yang menjangkiti. Ditambah lagi dengan keadaan si kecil itu sendiri, sama ada mempunyai latar penyakit seperti AIDS/HIV, penyakit jantung dan asma.

“Pneumonia sering bermula dengan demam, batuk dan selsema yang dianggap ‘biasa’ sama ada oleh ibu bapa, penjaga dan juga doktor yang tidak menganggapnya sebagai suatu serius. Tanda yang mungkin nampak serius dan menjadi amaran kepada ibu bapa, penjaga dan juga doktor bahawa ia adalah pneumonia, apabila kadar pernafasan si anak laju atau dadanya berombak. Tanda yang menunjukkan ia bertambah teruk apabila diikuti demam tinggi menggigil, peluh berlebihan, sakit dada bila bernafas, lemah serta letih,” katanya. Sayangnya, data menunjukkan empat daripada lima kanak-kanak yang menghidap penyakit pneumonia tidak mendapat rawatan sewajarnya, iaitu tidak diberikan antibiotik.
Berkongsi pengalaman, Dr Musa berkata, beliau pernah berhadapan kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidapi batuk selama tiga minggu diikuti demam suhu tinggi selama enam hari. Malangnya pengambilan antiobiotik tidak mampu mengatasi masalah itu. Apabila dirujuk kepada doktor dan melalui imbasan, pneumonia di kesan di keseluruhan paru-paru sebelah kanan.

“Cecair dan beberapa bahagian paru-paru sudah rosak dan menerusi ujian, cecair diambil daripada paru-paru kanak-kanak itu penuh dengan kuman pneumikokkus. Komplikasi dialami si kecil memerlukan bantuan alat pernafasan selama lima hari; bekalan oksigen selama 10 hari, tetapi malangnya kerosakan sudah pun berlaku pada bahagian paru-paru kanan. Kesudahannya, kanak-kanak itu menjalani rawatan selama sebulan di hospital,” katanya.



Pada 2008, dianggarkan seramai 8.8 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh dunia, meninggal dunia. Seorang daripada lima kematian itu disebabkan oleh pneumonia atau dengan kata lain, seramai 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat pneumonia. Kematian lain berpunca daripada malaria, TB, HIV/AIDS.

Di Malaysia, pneumonia di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun adalah penyebab kelima kematian dengan empat peratus kematian selain antara 28 peratus dan 40 peratus kemasukan ke hospital. Di Indonesia, 145 hingga 300 kes pneumonia dilaporkan bagi setiap 100,000 penduduk manakala di Filipina, sebanyak 5,000 kes pneumonia per 100,000 penduduk dicatatkan.

Pneumonia tidak popular seperti denggi yang kerap kelihatan iklannya di media massa. Dr Musa mengakui pandangan itu. Sambil mengambil denggi sebagai contoh penyakit popular, apabila kerap mendapat liputan yang tinggi di akhbar dan media, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) turut mengakui bahawa fenomena ini suatu perkara sejagat.

Malah, pihak terbabit sudah pun mengeluarkan suatu dokumen bertajuk ‘Pneumonia the Forgotten Killer of Children’ atau ‘Pneumonia Pembunuh Kanak-Kanak Yang Dilupakan’ bertujuan mengalih tumpuan dunia pada ‘pembunuh’ si kecil yang bukan saja dilupakan, tetapi tidak diambil berat oleh warga dunia.

Pneumonia boleh diselamatkan menerusi pengambilan vaksin dan ia bukan sesuatu yang mustahil dijadikan ‘wajib’ dalam imunisasi kebangsaan seperti vaksin kanser servik ,yang baru-baru ini diwajibkan untuk remaja perempuan.

Kuman pneumonia yang paling teruk iaitu kuman pneumikokkus mengakibatkan sebanyak 800,000 kematian setiap tahun di kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun. Vaksin pneumokokkal ada di Malaysia sejak 2005. Terdapat dua vaksin pneumokokkal daripada pembuat vaksin tetapi ia masih lagi belum dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.



Pada masa ini, kata Dr Musa, vaksin itu hanya boleh didapati di hospital swasta atau klinik pakar kanak-kanak swasta. Sebanyak 55 buah negara sudah pun memasukkannya ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, termasuk Singapura, Macau, Hong Kong, Australia dan New Zealand.

Katanya, Persatuan Pediatrik Malaysia sejak 2005 berjuang mengerah Kementerian Kesihatan berbuat sedemikian.

“Dengan kesedaran mengenai bahaya pneumonia, orang ramai terutama kumpulan sokongan kanak-kanak, dapat memberi tekanan kepada kerajaan bagi memastikan vaksin pneumocokkal dijadikan keutamaan serta dimasukkan dalam jadual Kementerian Kesihatan demi kesihatan anak-anak kita,” katanya.

Selain kuman pneumikokkus, jelas Dr Musa, pneumonia juga boleh disebabkan kuman campak, batuk kokol, hemofilus influenza B dan virus influenza H1N1. Tetapi, ketika ini, hanya tiga penyakit atau kuman iaitu batuk kokol, campak dan hemofilus influenza B tersenarai dalam jadual Kementerian Kesihatan sejak 1960, 1982 serta 2002.

Virus Influenza - H1N1 dan influenza A & B mendapat liputan besar apabila berlaku pandemik H1N1 pada 2009. Vaksinnya tidak tersenarai dalam jadual kementerian tetapi boleh didapati di klinik dan hospital swasta.

Kerjasama tangani pneumonia

PFIZER (Malaysia) Sdn Bhd dengan sokongan Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP), Pitter Patter, parenting2u.com dan SJ Echo melancarkan laman web www.abc4pneumococcal.com bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit pneumokokal dan menekankan hakikat bahawa penyakit ini boleh dicegah menerusi imunisasi, di ibu kota, baru-baru ini.

Pengurus Negara Pfizer bagi Malaysia dan Brunei, Angel Choi, berkata vaksin konjugat pneumokokus pertama diperkenalkan pada 2000 di Amerika Syarikat untuk memberikan perlindungan daripada tujuh serotaip pneumokukus yang paling umum.

“Kemajuan dalam bidang penyelidikan pneumokokus membolehkan kita memberikan perlindungan daripada 13 strain bakteria pneumokokus yang utama. Menyedari hakikat ini, lebih 50 negara memasukkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan masing-masing, termasuk Hong Kong, Singapura dan Macau,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Dr Musa sertadan Presiden dan Pemimpin Serantau Asia Pasifik bagi Persekutuan Organisasi Meningitis (CoMO), yang juga bapa kepada anak penghidap pneumokokal, Bruce Langoulant.

Pada majlis itu, Dr Musa turut menyeru Pfizer supaya menurunkan kos suntikan vaksin kerana kos yang lebih rendah membolehkan ia dimasukkan dalam program imunisasi negara.

Vaksin itu, katanya, perlu dilakukan sebanyak tiga dos dengan harga kira-kira RM600-RM750 untuk seorang kanak-kanak. Difahamkan di Afrika, vaksin sama diperoleh pada harga amat rendah iaitu hanya kira-kira USD7 (RM22.05) bagi satu dos.


INFO:

* Sebanyak 98 peratus daripada semua kematian kanak-kanak membabitkan pneumonia berlaku di negara membangun.
* Pneumonia boleh dicegah. Lebih sejuta nyawa kanak-kanak boleh diselamatkan menerusi penggunaan vaksin dan antibiotik, mengurangkan pencemaran udara dalaman dan melalui penyusuan susu ibu untuk tempoh enam bulan pertama hidup.


APA
* Pneumonia adalah jangkitan paru-paru, menyebabkan batuk dan demam yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas. Radang paru-paru yang teruk boleh membawa maut.
SIAPA

* Di negara membangun, kanak-kanak di bawah usia lima tahun, terutama bawah dua tahun dan miskin,
berisiko menghidap penyakit ini.
* Warga tua juga turut berisiko.
* Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa berisiko tinggi kerana mereka menghidapi penyakit lain seperti HIV/AIDS.
* Pesakit HIV lebih berisiko tinggi dan berkemungkinan mati akibat pneumonia.
* Kanak-kanak yang tidak mendapat cukup zat boleh melemahkan sistem imunisasi, sekali gus meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti pneumonia.


PENYEBAB

*Kebanyakan organisma boleh menyebabkan pneumonia.

*Di peringkat global, bakteria seperti Hib dan pneumokokkus adalah dianggarkan untuk menyebabkan lebih daripada 50 peratus kematian akibat radang paru-paru di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Virus dan kulat juga boleh menyebabkan pneumonia.


DIAGNOSIS

* Ia boleh dikesan oleh tanda seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas atau bernafas cepat atau berombak-ombak.

* Menerusi imbasan dada menggunakan sinar-X dan ujian makmal. Namun, alat ini selalunya tidak ada di negara membangun, terutamanya di luar bandar yang terpencil menjadikan sukar mengenal pasti dan merawat penyakit ini.


PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Ia boleh dicegah dengan vaksin Hib dan pneumokokus.
* Jangkitan campak dan pertusis (batuk kokol) juga boleh menyebabkan komplikasi pneumonia. Oleh itu,
vaksin untuk penyakit ini boleh mencegah sesetengah kes pneumonia.
* Tingkatkan kadar susuan eksklusif selama enam bulan.
* Kurangkan asap daripada rokok dan tempat memasak.
* Tingkatkan tahap nutrisi anak.
* Sentiasa basuh tangan dan ajar anak berbuat demikian.

Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts