Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Isnin, 14 September 2015

SENTUHAN TERAKHIR SEORANG IBU YANG DISAYANGI





Daripada gambar ini terlihat kelibat kanak-kanak berbaju hijau.
Umurnya 5 tahun. Anak bongsu kepada almarhumah Siti Nurolshlizan Zolkifli, salah seorang mangsa kren di Masjidil Haram.

Nota Untuk Anak Kecil yang Bongsu.
Apabila Pakcik tahu daripada Pakcik Amalludin bahawa budak berbaju hijau itu adalah anakanda sendiri, anak bongsu kepada almarhumah ummi.
Di usia 5 tahun juga, Pakcik kehilangan ibunda Pakcik. Ya, sama, 5 tahun juga. Pakcik juga anak bongsu.
Pakcik lihat jam di tangan pembelian ibu, sudah jam 10 malam. Terlihat lori kecil datang untuk membawa jenazah ibu Pakcik untuk dikebumikan. Peristiwa itu pada 16 Mac 1988.
Waktu itu tiada apa-apa perasaan lagi. Sambil menggalas beg gambar Mickey Mouse warna biru, Pakcik hanya diam sahaja melihat. Sejak itu, bermula hidup Pakcik tanpa ibu.
Berikut adalah perkara yang anakanda akan hadapi dan cara mengatasinya, mungkin nampak senang, tetapi bagi usia 5 tahun. Ia amat susah :
  1. Mesti mula belajar gosok gigi sendiri. Minta dengan abah atau sesiapa belikan berus gigi. Andai anakanda sakit gigi, ummi tidak ada di sisi. Walaupun ada abah, ibu saudara atau kakak. Mereka tidak sesabar ummi. Mereka tidak boleh faham apa kita rasa. Naluri ibu sangat berbeza.
  2. Andai adik tidak suka makan sayur. Mesti mula belajar makan sayur. Jangan sesekali susahkan orang lain. Mulakan dengan kobis atau karot. Pakcik dulu mula dengan makan kobis. Manis rasanya.
  3. Belajar lihat jam. Belajar guna masa. Ikut masa. Mintalah sesiapa belikan jam bernombor harga 5 ringgit. Jam Pakcik dulu 2 ringgit.
  4. Cepat-cepat belajar ABC dan membaca. Kita mesti bergerak atas kaki sendiri. Abang kakak ada matlamat hidup masing-masing.  Apabila kita besar, kita yang tentukan matlamat hidup kita. Ummi tidak ada untuk memahami perasaan dan jiwa kita. Abah mungkin sibuk mencari rezeki.
  5. Pakcik juga anak bongsu. Anak bongsu kuat menangis. Mulai sekarang berhenti menangis tanpa sebab. Sakit sikit terkena pisau, atau terkepit pintu, mesti tahan. Minta ubat. Ketap gigi kuat-kuat, biarkan sakit itu hilang sendiri. Pakcik dulu pernah meragam, ia menyusahkan ramai orang.
  6. Belajar dengan memerhati. Usah gopoh. Lihat dengan teliti, lihat berkali-kali dan belajar buat sendiri.
  7. Anakanda suka tengok TV bukan? Apabila terdengar sahaja orang minta tutup TV. Terus tutup, ikut peraturan. Tiada sesiapa yang boleh layan kerenah kita.
  8. Jangan sesekali meminta-minta. Jangan minta duit raya, jangan minta mainan atau apa sahaja.
  9. Belajar buat sendiri tanpa disuruh-suruh. Ikut masa yang ditetapkan. Waktu mandi, waktu makan dan sebagainya.
  10. Jangan suka bersaing. Jangan cuba berlawan dengan sesiapa. Belajarlah berkawan-kawan. Mainan orang kita lihat sahaja. Jangan sentuh. Apabila dipelawa barulah main sama-sama.

Kredit foto : Tuan Amalludin Zolkifli

Pergi x kembali...kalaulah si anak tahu itu adalah sentuhan terakhir ibunya...damailah di sana wahai ahli syurga...aminnn
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts